Warkah 2020 Buat Tun Dr Mahathir

Kehadapan Tun Dr Mahathir Perdana Menteri berulang Malaysia yang tercinta. Saya doakan semoga Tun dipanjangkan usia dan dikurniakan kekuatan menghabiskan pentadbiran sepenggal Pakatan Harapan. Sihat walafiat disamping yang tersayang.

Tun yang dikasihi,

Walau apa jua pandangan Rakyat Malaysia terhadap Tun, saya cukup kagum dengan kesungguhan Tun pada usia 94 tahun masih kuat dan bertenaga menggepalai tampuk kepimpinan Negara.

Saya yakin rakyat Malaysia mengambil tahu sejarah panjang politik Tun. Saya optimis Tun tidak ada galang gantinya dalam arena politik tanah air. Dahulu Tun bersama Barisan Nasional (UMNO) 22 tahun berkuasa membawa agenda “Agama, Bangsa dan Negara”.

Rakyat (atuk nenek mak bapa) saya saksi persengketaan Tun dalam kancah politik bersama beberapa figura, antara lain nya ialah Anwar Ibrahim. Ketika itu lautan manusia memanjat membadai politik “kuku besi”, “diktator” Tun, itulah agenda penting yang dibawa oleh Anuar Ibrahim reformist pada sekitar tahun 1998 untuk menjatuhkan Tun, UMNO dan Barisan Nasional.

Namun Tun utuh bertahan dengan pelbagai strategi yang dimainkan, Tun kekal berkuasa, tiada siapa mampu melawan Tun. Saya amat kagum, begitu bijak dan hebatnya ciptaan Tuhan yang bernama Mahathir Mohamad. Anak muda mana yang tidak akan mengidolakan insan sehebat itu bukan? Saya salah seorang dari nya Tun. Percayalah.

Tahun 2020 Tun tetap berkuasa tetapi bezanya kini Tun bersama parti dan figura “individu dan kumpulan yang Tun memusuhi mereka dulu kala. Masih ingat kah Tun dengan ungkapan Melayu mudah lupa? Saya harus ingatkan Tun ungkapan itu kembali. Tun bersama Pakatan Harapan atas nama “Bina semula Negara” dan “Selamatkan Malaysia”.

Melalui kuasa Rakyat maka kini hampir genap 2 tahun pemerintahan Pakatan Harapan. Perlu diakui Barisan Nasional menjulang tinggi demokrasi dan mandat Rakyat, maka berlakunya peralihan kuasa dengan aman dan tenang.

Kini Tun Perdana Menteri Malaysia sekali lagi buat kali kedua selepas puluhan tahun menjadi Perdana Menteri dari tahun 1981 sehingga 2003. Saya bangga dan kagum dengan seni Politik Tun.

Teringin saya nak belajar seni itu bersama Tun, terkadang wujud iri hati melihat Menteri muda Syed Saddiq yang mendapat ruang secukupnya berguru dengan Tun. Tun “dengan kawan pun boleh jadi ketua, dengan lawan pun boleh jadi ketua”, masyaallah hebatnya aura Tun sehingga lawan juga akur untuk Tun dijadikan ketua.

Tetapi kedengaran bunyi-bunyi rakyat marhaen yang mengatakan Tun tidak berprinsip, Tun mengkhianati kawan, Tun mementingkan kelangsungan politik peribadi bukan parti dan Tun lebih mementingkan menyuap anak-anak serta keluarga Tun. Itu kata mereka. Saya sangkal dengan tegas Tun, saya katakan pada mereka begini Tun.

  1. Ketua keluarga mana yang tidak mahu melihat keluarganya bahagia, senang dan berjaya.
  2. Bapa mana yang tidak sayangkan anak-anak. Usaha keras Tun mendidik anak-anak sehingga begitu berjaya harus dicontohi bukan dipandang sinis atau dikutuk.
  3. Sedangkan ahli keluarga “darah daging sendiri boleh saling mengkhianati satu sama lain masakan Tun tidak boleh khianati kepercayaan kawan-kawan beliau.

Itulah tiga perkara yang saya selalu katakan kepada mereka Tun. Usah Tun gusar, alasan yang saya berikan cukup “manisnya” sehingga anak-anak muda diluar berpusu mahukan Tun kembali menjadi Perdana Menteri pertengahan tahun 2018. Rindu zaman Mahathir, mereka laungkan dengan kuat. Media sosial dipenuhi dengan prakarsa itu Tun. Sekali lagi saya makin kagum dengan kepintaran dan aura Tun.

Tun, kini usia saya sedang mengintai siri ke tiga menjelang beberapa tahun lagi, manakala Tun dikasihi pula menjelang siri ke seratus. Masih subur dalam fikiran saya Wawasan 2020 yang Tun perkenalkan selepas tamatnya tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1990.

DEB yang dijelmakan sebagai hak Melayu (walaupun matlamatnya adalah untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan) secara tiba-tiba mahu ditinggalkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang rakyatnya “mungkin” setara dan berpeluang saksama.

Secara jujur saya agak pesimis tidak yakin akan wawasan itu sehinggalah saya didoktrin bahawa tahun 2020 kita bakal menjadi Negara membangun yang berjaya sehingga kenderaan darat”bumi akan berterbangan memenuhi langit. Ketika itu saya berpandangan jauh, mula mengimpikan saya akan menaiki kereta terbang.

Saya tidak mudah lupa, Saya nak Tun tahu berbagai jenis kereta terbang kawan-kawan saya lakarkan, tetapi saya tidak kerana tidak pandai melukis. Dapat atau tidak Tun gambarkan kesedihan kawan-kawan saya masa kini? Tun telah melukakan hati mereka.

Saya tidak mahu katakan Tun gagal dalam mencorak cita-cita WAWASAN 2020, tetapi saya beranggapan objektif Tun tersasar kerana politik, Tun tidak bersalah sebagai Perdana Menteri ke-4.

Tetapi sebagai Perdana Menteri ke-7 Tun perlu akui kesalahan kerana terlalu memfokuskan politik dari mengejar Wawasan yang Tun idamkan buat Malaysia tercinta setelah mengambil semula tampuk kepimpinan walaupun dengan pasukan baharu.

Tun tetap individu yang sama, mempunyai kuasa yang sama namun kali ini Tun membuatkan saya kecewa. Jujur perasaan kagum saya mula meluntur Tun, maafkan saya.

Kini, melihat kembali wawasan Dr Mahathir, semuanya hanya tinggal impian, perit untuk kita menerimanya. Sama ada saya betul atau tidak, yang jelas kita bukan sahaja gagal mencapai matlamat wawasan tersebut, malah kita semakin berundur ke arah curiga antara satu sama lain, benci sesama sendiri dan semakin tidak bermoral dalam aspek rasuah, korupsi dan salah guna kuasa. Apa sudah jadi Dr Mahathir? Bina semula Negara yang bagaimana? Tun perlu jawab tanpa jawapan politik “saya tak tahu” atau “kita perlukan masa”.

Matlamat dan cabaran Wawasan 2020 semakin jauh ditinggalkan dengan memperkenal Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Ia sudah tidak memberi banyak makna lagi kerana matlamat asas Bangsa Malaysia sudah Tun bakul sampahkan. Tun masih ingat matlamat Wawasan 2020?

Antara matlamat utama Wawasan 2020 yang jauh ditinggalkan itu ialah cita-cita murni menjadikan Malaysia sebagai “sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara”.

Saya tahu Tun sedar situasi sebenar Negara dan bibit-bibit ketidak harmonian di kalangan Rakyat Malaysia, saya juga percaya Tun tahu asas berlakunya perkara itu, kerana politik bukan Tun?

“Kesetiaan politik”, Tun sendiri berlaku tidak setia, Tun berlaku curang, Tun sendiri tidak mempunyai keazaman mengangkat tinggi matlamat utama wawasan 2020. Saya yakin Tun mengerti apa yang saya cuba sampaikan bila memetik akan “kesetiaan politik”. Jika tidak saya memberikan gambarannya, “Tun curang kepada UMNO, Barisan Nasional serta akar umbi”.

Izinkan saya menggelarkan Tun sebagai “atuk” lebih bersesuaian jika diukur dari tahap umur kita. Atuk, dari sudut ekonomi tiada lagi impian untuk “memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi “yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi” dan “masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental”.

Warkah 2020 Buat Tun Dr Mahathir

Kita sekarang seperti kehilangan arah, kita mudah tergoda dengan imej-imej agama dan kaum daripada pengisian serta maknanya. Kita berbalah dan bertegang leher, malah sanggup mencabar ke arah keganasan atas jenama, lambang dan simbol. Itu hakikatnya atuk.

Jadi adakah WKB 2030 bakal mewarisi matlamat utama wawasan 2020? Saya (cucu) khuatir ia nya sekali lagi hanya sekadar “pemanis” atas nama politik dan cubaan memenangi hati rakyat.

Atuk, kalau setakat pandai mencari kesalahan, kekhilafan dan kesilapan orang lain, memang kita adalah juara. Cucu sendiri pun dengan sedihnya terpaksa mengaku ada “kepandaian” ini.

Atuk jangan lah lagi berada dalam golongan itu dengan menyalahkan Perdana Menteri ke-5 dan yang ke-6. Usah atuk lari dari kegagalan atuk sendiri kerana apa yang atuk lakukan sekarang sedang menghakis secara mendalam perasaan kagum terhadap atuk, saya mula tidak meyakini atuk, saya mula merasakan “kenapa tidak atuk hanya berehat dan berikan nasihat serta pandangan melakar Malaysia membangun berjaya dari luar bersama parti terdahulu”, kenapa perlu atuk mewujudkan parti baru tetapi wawasan atuk sendiri gagal.

Apakah itu kerana cita-cita besar dan kelansungan politik atuk? Bukahkah pengganti atuk PM4 dan PM5 merupakan kawan, sahabat dan boleh dikatakan anak didik atuk? Bukahkah atuk yang menaikkan mereka? Tidak salah jika atuk terbuka menerima acuan baru mereka dan dalam pada masa yang mengejar matlamat Wawasan 2020 dengan strategi tambahan tanpa mengenepikan matlamat utama Wawasan 2020?

Atuk berkelakuan sebaliknya, atuk keras mengkritik mereka seolah tidak boleh ada pengganti Perdana Menteri selain atuk sedangkan pada ketika itu mereka cuba mencorak Malaysia membangun maju berjaya. Atuk tidak terbuka mahu mencorak Malaysia maju bersama.

Itulah punca tersasarnya wawasan 2020 atuk bagi pandangan saya, hanya kerana kepentingan atuk seorang sahaja. Apa sebenarnya yang atuk risaukan? Membangunkan Negara, legasi politik, nasib rakyat atau nasib keluarga?

Tindakan atuk sebenarnya terus menerus memecah belahkan rakyat terutamanya orang Melayu untuk terus berkuasa, mahu akui atau tidak itulah pandangan saya atuk.

Tidak salah menggunakan kepintaran atuk bagi kekal berkuasa tetapi pandang dan dengarlah keluh kesah rakyat atuk. Kami kini sedang terbeban. Percayalah. Sudahlah wawasan gagal, tujuan Malaysia sekarang tidak terlalu jelas ditambah pula pengenalan pelbagai cukai baharu.

Itu menekan kami yang dibawah atuk. Apakah atuk tidak kasihan dengan kami cucu yang mengundi atuk? Apa salah kami, salahkan kami mengundi pakatan atuk dengan berharap ada penambahbaikan akan berlaku, tekanan hidup kami akan berkurangan, kualiti hidup kami akan berubah.

Wawasan terkubur, Harapan kami juga ikut terkubur. Kasihani kami atuk, kami makin tersepit. Bukan kata-kata palsu yang kami harapkan. Pengundi muda kini dalam dilema sindrom “apakah kami telah melakukan kesilapan mengundi pakatan harapan”.

Tolong kasihani kami anak muda atuk. RM50 penuh setroli hanya jadi bahan “troll” sahaja atuk. Barang semakin mahal tetapi atuk kata gaji tidak perlu tinggi nanti kedai tomyam pun akan tutup.

Cucu cuba untuk memahami implikasi namun itu lebih membuatkan rasa kagum saya terhadap atuk berubah. Ekonomi perlahan dan mengucup, GST diganti SST perubahannya lebih menekan dari menyenangkan kami atuk, tiada peluang pekerjaan.

Saya cuba lupakan janji wujudkan satu juta peluang pekerjaan akan tetapi saya tidak berdaya kerana terlalu berharap. Ia bakal menjurus kepada masalah kesihatan mental, atuk doktor mesti lebih faham dan arif. Implikasi kepada terlalu mengharap.

PH menang Rakyat senang, atuk ingat lagi tagline ini atau atuk sendiri telah memakan kata-kata atuk “melayu mudah lupa”. Menjejak usia tiga puluhan, pertama kali saya dengar istilah “Kerajaan U-Turn”.

Mungkin itu tidak memberi kesan kepada atuk tetapi kepada kami anak muda malu telah mengundi satu pakatan yang tidak kompeten. Negara lain parti pemerintah yang lemah, rakyat kritik lantas Perdana Menteri atau Menteri akan meletakkan jawatan tetapi tidak di Negara kita.

Itu tidak mencerminkan Kerajaan Baharu, cara baru yang pakatan bawa atuk. Seharusnya perlu lebih bertanggungjawab. Atuk kata amanat dan amanah rakyat perlu dijaga tetapi iannya hanya sekadar kata-kata sahaja atuk.

Tiada langsung tindakan susulan yang menjaga hati perasaaan dan kebajikan rakyat. Jika nak disenaraikan terlalu banyak kepincangan dan kebobrokan yang berlaku namun saya tidak berniat untuk menyentuh satu per satu. Niat saya hanya mahupun YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedar akan kekhilafan, kegagalan dan berhenti menyalahkan pihak lain.

Mahu sepenuhnya bertanggungjawab atas mandat dan jawatan yang diberikan. Jangan curang kepada rakyat sebagaimana dilakukan kepada parti. Rakyat tidak bersalah, kerajaan tempat rakyat tergantung harap, mengadu nasib. Hak dan kebajikan mereka perlu dijaga dengan baik. Atuk, bukan vellfire keutamaan kini, tetapi “wellfare” rakyat atuk.

Pesanan ringkas dari cucu buat atuk, habiskan lah sepenggal yang diberi. Hormat mandat rakyat. Tidak perlu menyerahkan kuasa kepada pihak lain apatah lagi yang bukan Timbalan Perdana Menteri ataupun “Jemaah Menteri”. Jika tidak atuk bubar parlimen, jangan menunggu 3 tahun tempoh masa matang Ahli Parlimen bagi mendapatkan pencen.

Riuh berkata berkhidmat dan berjuang untuk rakyat, takkan pencen lagi penting. Dikala pelbagai elaun dipotong, rakyat hilang punca pendapatan dan sebagainya, apa lah sangat pencen yang ditunggu.

Biarkan rakyat membuat perhitungan semula atuk, biar rakyat memilih, biar rakyat menentukan mandat. Atuk berehatlah secukupnya, luang masa bersama isteri tersayang dan keluarga.

Satu lagi permintaan, sebelum bersara atuk berlaku jujur kepada rakyat. Cucu yakin atuk tahu maksud cucu. Sejujurnya tujuan cucu nan bukan bagi menyalahkan atau menyatakan kegagalan atuk, tetapi menjurus kearah pandangan dari seorang cucu kepada atuk yang disayangi dan dikaguminya.

Sekian, terima kasih untuk masa dan kesudian atuk membaca. Semoga atuk menerima warkah ini secara terbuka, pertimbangkan, muhasabah dan menjunjung kebebasan bersuara yang pakatan harapan julung. Berkhidmat sebaiknya, benar-benar bina Negara bukan merosakkannya dari dalam dan menyalahkan orang lain. SELAMATKAN MALAYSIA!

Dari Ipoh, Perak. Cucu Nan yang sentiasa menyayangi atuk.
Muhammad Khalish Nantha

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here