Sudahkah Kita Capai Wawasan 2020?

0

“Dah masuk 2020 ni, tak ada pun kereta terbang?”

Kenapa ramai rakyat Malaysia yang letakkan adanya kereta terbang sebagai tanda aras tercapainya Wawasan 2020, sehingga penuh meme atau sindiran berkenaannya di media sosial? Mudah.

Sebab sebenarnya ramai yang tidak jelas dengan matlamat-matlamat Wawasan 2020 yang diasaskan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991 ini.

Ketidakfahaman rakyat Malaysia ini mungkin disebabkan oleh sembilan matlamat atau cabaran utama Wawasan 2020 itu sendiri yang lebih berbentuk aspirasi dan terlalu subjektif. Rata-rata matlamat tidak mempunyai kayu ukur yang jelas dan tidak mudah untuk dinisbahkan kejayaannya dalam bentuk angka dan kuantiti.

Sebagai contoh, matlamat pertama ialah mewujudkan satu Bangsa Malaysia yang bersatu. Persoalannya, bagaimana mahu diukur Bangsa Malaysia yang bersatu padu? Adakah pada “Bangsa Malaysia” itu atau pada kesatuan rakyat Malaysia?.

Apa definisi “Bangsa Malaysia” – tiada lagi pengkelasan berdasarkan kaum; hatta di dalam klausa-klausa Perlembagaan Persekutuan? Apa pula kayu ukur kesatuan? Malangnya persoalan-persoalan ini tidak dijawab secara jelas demi kefahaman rakyat Malaysia berkenaan Wawasan 2020.

Matlamat kedua hingga ketujuh kesemuanya juga berbentuk aspirasi yang subjektif dan berkisar tentang nilai-nilai masyarakat yang berjiwa bebas, demokratik, beretika, bertolak ansur, progresif dan penyayang. Nilai-nilai ini merupakan nilai positif sejagat yang pasti telah diterap dan diamalkan oleh rakyat Malaysia keseluruhannya sejak sekian lama. Namun, kejayaan penerapan dan pengamalan nilai-nilai ini pastilah tidak mudah untuk diukur.

Matlamat kelapan adalah berkait dengan ekonomi negara. Matlamat ini menyasarkan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini antara matlamat yang sebenarnya mudah untuk diukur.

Tapi malang, Wawasan 2020 tidak pula letakkan sebarang kayu ukur yang jelas. Parameter-parameter ekonomi seperti pecahan pegangan ekuiti berdasarkan kaum, nilai Pekali Gini (Gini Coefficient) dan sebagainya tidak tertulis secara jelas untuk menilai pencapaian matlamat ini pada tahun 2020.

Akhir sekali, matlamat kesembilan ialah mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai status ekonomi yang baik. Hanya matlamat ini yang disokong dengan penerangan dan kayu ukur pencapaian yang jelas. Ada dua indikator ekonomi yang disasarkan dalam Wawasan 2020 menerusi matlamat ini.

Pertama ialah saiz ekonomi yang lapan kali lebih besar berbanding pada tahun 1990. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 1990 ialah RM115 Bilion (atau RM119 Bilion berdasarkan Jabatan Statistik Malaysia).

Maksudnya, menjelang tahun 2020, KDNK Malaysia perlu bernilai RM952 Bilion. Kedua ialah rakyat Malaysia yang empat kali lebih kaya berbanding pada tahun 1990. KDNK perkapita rakyat Malaysia pada tahun 1990 ialah RM6,578. Maksudnya menjelang 2020, KDNK perkapita rakyat Malaysia perlu bernilai RM26,312.

Menariknya, sasaran-sasaran ini telah pun dicapai ketika Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak memegang tampuk pemerintahan negara beberapa tahun lebih awal daripada tahun 2020. KDNK perkapita rakyat Malaysia pada tahun 2008 ialah RM27,929.

Maksudnya, Tun Abdullah telah pun mencapai sasaran Wawasan 2020 dua belas tahun lebih awal! KDNK Malaysia pada tahun 2012 ialah RM971 Bilion. Maksudnya Datuk Seri Najib telah pun mencapai sasaran Wawasan 2020 lapan tahun lebih awal!

Tanpa melihat kepada matlamat-matlamat lain yang berbentuk aspirasi subjektif, sebenarnya bolehlah disimpulkan bahawa Wawasan 2020 sudah pun kita capai, dan kita mencapainya jauh lebih awal daripada tarikh yang disasarkan. Tahniah Malaysia! Selamat Menyambut Tahun 2020!

Rujukan:

  • https://www.pmo.gov.my/ms/wawasan-2020/malaysia-sebagai-negaramaju
    • https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/3_Time%20Series/Malaysia_Time_Series_2015/01_Akaun_Negara.pdf

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here