Singapura Bakal Peroleh Pesawat Halimunan F35B, Kemana Halatuju Pertahanan Malaysia Selepas Ini?

0

Perkhabaran dari negara jiran seberang tambak yang dikatakan akan memiliki pesawat halimunan F35B yang mempunyai kemampuan VSTOL bakal membuatkan negara pulau tersebut melangkah jauh dihadapan terutama di dalam kemampuan pertahanan sektor udara.

Menurut laporan, Singapura diberi lampu hijau oleh Amerika Syarikat untuk mendapatkan jet pejuang generasi ke-5 F-35 keluaran Lockheed Martin, dilaporkan Singapura telah memohon 12 buah F-35B iaitu varian VSTOL.

VSTOL atau ‘Vertical and/or Short Take Off Landing’ ataupun dengan kata lain boleh berlepas atau mendarat secara terapung memberikan kelebihan buat Singapura untuk mengurangkan penggunaan ruang sekali gus meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam ilmu VSTOL.

Jabatan Negara Amerika Syarikat dilaporkan telah meluluskan permohonan Singapura yang membolehkan mereka mendapatkan 12 buah F-35B dengan kos USD 2.7 Billion sekali gus menjadi negara pertama di rantau asia tenggara memiliki pesawat berkeupayaan halimunan dan VSTOL.

Pembelian secara pakej terbabit melibatkan 13 buah enjin Pratt & Whitney F135, sistem peperangan ekektronik, sistem komunikasi termasuk Autonomic Logistics Information System yang merupakan sistem pengurusan logistik yang turut melibatkan penyelenggaraan pesawat.

Pembelian jet pejuang F-35 oleh Singapura adalah permulaan buat Singapura untuk mengantikan 60 buah F-16C/D Block 50/52+ milik Tentera Udara Republik Singapura yang turut memiliki keupayaan yang paling moden di rantau ini.

Selain itu, Singapura dilaporkan mahu membangunkan Kapal Pelbagai Guna berdasarkan konsep “Landing Helicopter Dock” (LHD) yang mana jet pejuang F-35B boleh dioperasikan pada kapal terbabit.

Walaupun tidak berhadapan konflik yang serius berbanding negara tertangga lain, Singapura tetap mementingkan tahap keupayaan angkatan tentera mereka ke tahap lebih moden dan kehadapan.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin berkenaan aset ketenteraan, penulis merasa sedih apabila perolehan pesawat Multi Role Combat Aircraft (MRCA) untuk menggantikan jet Mig-29N telah tertangguh sejak sekian lama.

Kedaulatan Malaysia terutama di kawasan pertindihan di kepulauan Spartly melibatkan China sepatutnya menjadi keutamaan buat kerajaan dalam menjaga perairan negara selain dapat memberikan isyarat kepada negara asing untuk tidak menimbulkan provokasi serta mengganggu gugat kedaulatan negara kita.

China kini dilihat telah menjadi sebuah negara kuasa besar yang mempunyai aset ketenteraan yang moden dan canggih selain bakal mempunyai beberapa buah kapal pengangkut pesawat untuk dikerah ke Laut China Selatan yang pastinya akan memberikan penguasaan secara menyeluruh serta membuli negara-negara Asean yang terlibat.

Kita tidak seharusnya mengharapkan kuasa-kuasa asing seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara barat semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan kita, seharusnya kita terus mempertingkatkan keupayaan aset ketenteraan serta melakukan modenisasi terhadap aset-aset lama dengan perolehan aset moden baharu selain melakukan kerjasama untuk membina sendiri.

Kerajaan dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) seharusnya memberikan tumpuan yang lebih selain menambah peruntukan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan aset-aset ketenteraan yang baru, moden serta mampu melaksanakan tugas dengan baik dan tidak hanya memikirkan untuk melakukan penjimatan semata-mata.

Usaha sama dengan Turkey juga adalah salah satu usaha yang boleh dipuji kerajaan pada hari ini di mana kerjasama pembuatan dan perolehan aset seperti pesawat tanpa pemandu dan kenderaan perisai adalah baik dan memberikan situasi menang-menang buat kedua negara untuk meningkatkan keupayaan membina berbanding hanya memperoleh aset melalui pembelian.

Diharapkan kerajaan lebih memandang serius perolehan aset-aset ketenteraan bagi mengimbangi serta mempersiap siaga Angkatan Tentera Malaysia untuk terus lebih moden dan kehadapan selain dapat mengimbangi negara-negara tertangga biarpun kita lebih kearah diplomasi kerana penting untuk kita sebagai persiapan untuk menangkis apa jua provokasi bukan sahaja dari negara asing tetapi juga terhadap konflik yang melibatkan keganasan yang pernah menggemparkan negara kita suatu ketika dulu.

Sumber:

  • https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/us-government-approves-f-35-fighter-jet-sale-to-singapore-12249354https://www.malaysiandefence.com/singapore-cleared-to-buy-12-f-35bs/
  • https://www.malaysiandefence.com/turkish-delights/
  • https://edition.cnn.com/2019/12/17/asia/china-aircraft-carrier-shandong-intl-hnk/index.html
  • LEAVE A REPLY

    Amaran:
    Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
    Please enter your comment!
    Please enter your name here