Sepatutnya Kimanis Milik Warisan

0

Keputusan menunjukkan majoriti pengundi #KimanisMemilih Barisan Nasional bagi mewakili mereka di Parlimen. Pada saya, culaan ILHAM kali ini tidak mengena apabila mereka mengatakan Warisan boleh menang selesa. Secara peribadi saya jangkakan sengit dan sukar untuk katakan kemenangan milik siapa. Perkara menarik yang boleh dilihat:

1. BN telah mendapat ACTUAL SURPLUS vote sebanyak sekitar 800 undi! Berbanding dengan majoriti lebih 2000; peningkatan jumlah undi adalah lebih signifikan kerana itu menunjukkan petanda jelas bahawa pengundi telah beralih.

2. Ini kali kedua BN memperoleh undi sewaktu PRK lebih tinggi berbanding PRU14. Di Tg Piai, Wee Jeck Seng pula telah berjaya meraih kembali pengundi PRU 13 beliau yang swung pada PRU 14 sebanyak 5000 undi.

3. Namun berbeza antara Tg Piai dan Kimanis, di mana secara matematiknya, Warisan memiliki kelebihan dalam pertandingan 2 penjuru. Kerana itu, sebahagian penyelidik menganggarkan Warisan menang.

4. Jika wujud 3 penjuru, lagiĀ² jika Anifah Aman yang bertanding, maka BN dalam bahaya. Jika dua penjuru pula, persaingan sengit dan kelebihan kepada Warisan kerana PHRS iaitu penjuru ketiga PRU14 bersama Warisan memiliki lebihan kumulatif pengundi berbanding BN.

5. Malahan dengan kedudukan Warisan sebagai Parti Pemerintah Negeri dan memiliki hubungan baik dengan PH sebagai Parti Pemerintah Persekutuan, menjadikan PRK Kimanis sebagai titik tolak peralihan sokongan penduduk Kimanis kepada mereka.
Jadi, ini seat yang berkemungkinan untuk bertukar tangan.

6. Sebagai parti pemerintah negeri dan berhubung baik dengan parti pemerintah persekutuan, secara kritikalnya mereka gagal untuk memobilisasikan lebih ramai pengundi. Akhirnya Warisan kehilangan baki 1200 pengundi mereka dan 1300 pengundi dari Parti Harapan Rakyat Sabah.

7. Pada sisi lain, kadar turun mengundi (bagi pengundi Warisan) adalah lebih kurang dengan Pilihan-pilihan Raya Kecil yang lain, di mana hampir mustahil untuk semua pengundi mereka turun mengundi lagi. Ini menunjukkan usaha luar biasa BN berkempen dan menggerakkan pengundi hingga meraih kejayaan ini.

8. Walaupun Anifah Aman tidak lagi bertanding, pengundi BN tidak beralih kepada Warisan. Maka jangkaan Semenanjung yang menyangkakan pengundi di Malaysia Timur mengikut kuasa dari Malaysia Barat boleh diragukan. Mereka kekal bersama BN walaupun sebagai pembangkang. Selain elit politik (Anifah Aman) tidak memecahkan undi, pengundi di sana juga melihat parti sebagai wadah perwakilan mereka.

9. Apabila BN berjaya mengekalkan kerusi ini dan menafikan dua kelebihan besar Warisan, maka ini adalah kemenangan bermakna buat BN. Walaupun pada permukaan, seolah-olah status quo. Akan tetapi, dinamiknya masih ada utk membawa perubahan

10. PRK di Kimanis ini sewajarnya melahirkan keinsafan kepada kedua-dua parti. Barisan Nasional perlu menghargai kesetiaan masyarakat Sabah dan benar-benar membangunkan Sabah setelah menjadi kerajaan semula. Warisan-PH juga tidak boleh beretorik lagi, dan bawalah pembangunan di Sabah untuk buktikan kesungguhan kalian memperjuangkan MA63.

11. Jika ramai merasakan Bumiputera Sabah dan Sarawak ini berbeza dengan Bumiputera Semenanjung, fikirkan semula. Mungkin mereka lebih sama dari apa yang dibayangkan. Jika ramai merasakan Bumiputera dan Bukan Bumiputera ini jauh berbeza, fikirkan semula. Mungkin kita semua inginkan benda yang sama, cuma dengan definisi dan gambaran yang berbeza sahaja.

Anis Sina
Penganalisis Politik

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here