Nasionalisme Melayu Baharu, Formula UMNO Untuk Pelbagai Bangsa

0

Momentum Perhimpunan Agung UMNO 2019 – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 adalah perhimpunan tahun kedua setelah kejatuhan rejim Barisan Nasional. Mood pada tahun ini dilihat begitu jauh berbeza dengan tahun sebelumnya.

Malahan PAU 2019 boleh dianggap sebagai fasa di mana ahli-ahli UMNO telah mula memberi nafas baru dengan idea yang cukup radikal dan progresif, serta mencerminkan mereka sebagai pembangkang berwibawa.

Mood PAU 2019 ini boleh kita andaikan didorong oleh dua faktor utama dan saling berkaitan iaitu ta’awun siyasi antara Barisan Nasional dan PAS dan siri kemenangan Pilihanraya Kecil 2019.

Jika kita amati proses ke arah kerjasama dua parti ini, dipercayai telah bermula semenjak pra Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 lagi, apabila UMNO di bawah Dato’ Sri Najib Razak dan PAS di bawah Tuan Guru Hadi Awang telah mula duduk sepentas untuk membawa isu-isu berhubungan umat Islam di dunia dan berkaitan Melayu-Islam di Malaysia.

Pada masa Barisan Nasional sebagai parti pemerintah, mereka masih tercari-cari apakah formula untuk mengekalkan kerusi pemerintahan dan jalan yang telah diambil adalah ‘formula tiga penjuru’ dengan menjadikan PRK Kuala Kangsar dan PRK Sg Besar sebagai panduan kemenangan ke arah PRU 14.

Ternyata formula tersebut menemukan jalan kegagalan kerana pecahan Melayu ketika itu seperti penyokong dan pengundi Amanah & Bersatu/PPBM tidak diambil kira nilai signifikannya.

Pembentukan Blok Pembangkang

Kerjasama ini sebenarnya telah dimangkin oleh beberapa peristiwa politik (sebagai faktor luar) yang berlaku di era pemerintahan Pakatan Harapan dan menimbulkan perasaan resah dan tidak selamat terhadap kalangan etnik majoriti negara hingga berlakunya beberapa siri himpunan Bani Melayu mega.

Antaranya Himpunan Bantah ICERD dan Himpunan Perpaduan Ummah (HPU). Jasa tidak langsung Pakatan Harapan telah memberi justifikasi kepada BN dan PAS untuk mewujudkan sebuah blok pembangkang yang kuat sebagai semak dan imbang kepada tindakan kerajaan dan termaterailah Muafakat Nasional sebagai blok pembangkang baharu.

Makanya UMNO melihat kerjasama ini sebagai peluang kedua buat mereka untuk kembali stabil dalam arena politik pasca PRU 14.

Kemeriahan PAU 2019 ini juga turut didorong oleh hasil kerjasama Muafakat Nasional yang telah berjaya memenangi empat (4) daripada sembilan (9) PRK pasca PRU 14. Di mana, 5 PRK yang dimenangi oleh Pakatan Harapan adalah kemenangan mengekalkan kerusi milik mereka.

Berbeza dengan kemenangan Barisan Nasional di mana dua (2) daripada (4) PRK yang dimenangi itu adalah kerusi yang berjaya dirampas semula daripada PH kepada BN. Kerusi terakhir yang dimenangi sebelum PAU 2019 adalah kemenangan bergaya Barisan Nasional dengan majoriti 15,086 undi.

Kekalahan yang memalukan PH adalah disebabkan oleh kehilangan kepercayaan daripada pengundi Cina yang selama ini sebagai etnik majoriti yang memberikan undi kepada Pakatan Harapan.

Kemenangan ini justeru sebagai pemacu semangat buat Barisan Nasional dan khususnya UMNO dan MCA. Malahan penangguhan PAU bersempena PRK Tg Piai juga adalah penangguhan yang dirasakan berbaloi oleh semua ahli parti untuk diraikan.

Kemenangan Tg Piai juga tidak terhenti sekadar di situ, akan tetapi sebagai pengajaran buat UMNO untuk kembali memikirkan pendekatan politik perkauman mereka sebelum ini yang memberi konotasi negatif terhadap imej parti.

Maka, perlunya sebuah pendekatan baharu untuk ditampilkan agar UMNO sebagai parti teras Barisan Nasional bukan sahaja diyakini oleh masyarakat Bumiputera, tetapi juga turut diyakini oleh masyarakat bukan Bumiputera seperti komuniti Cina dan India.

Pendekatan Nasionalisme Baharu yang Inklusif

UMNO Johor dengan semangat kemenangan di Tg Piai menekankan agar UMNO bukan sahaja menjadi suara Melayu, malahan kembali menjadi suara rakyat Malaysia. Idea yang dibawa oleh Datuk Mohd Jafni Md Shukor sebagai jurucakap UMNO Johor dengan kepimpinan Datuk Ir Hasni Mohamad, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor adalah bagaimana Muafakat Nasional yang diterajui UMNO dan PAS boleh disulami dengan semangat Nasionalisme Melayu Baharu.

Nasionalisme Melayu Baharu jika diteliti dengan lebih mendalam; gagasan ini bukanlah sebuah konsep baharu akan tetapi sebuah pendekatan baharu dalam memaknai ideologi Nasionalisme Melayu yang berteraskan kepada Agama, Bangsa & Tanah Air (ABATA). Kefahaman yang berakar selama ini menurut pembahas perlu ditanam dengan akar kefahaman baharu.

Nasionalisme Melayu Baharu tidak lagi bersifat esklusif kepada kumpulan Melayu tertentu seperti Melayu konservatif atau tradisional, akan tetapi merangkumi keseluruhan kumpulan Melayu dan Bumiputera yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pembangunan negara yang dipacu oleh Barisan Nasional sebelum ini telah memberi peluang kepada rakyatnya untuk terdedah dengan idea dan pandangan yang berbagai dari pelbagai negara.

Kesannya telah melahirkan spektrum ideologi dan pemikiran yang rencam. Ada yang terpengaruh dengan dunia Barat dan ada yang terpengaruh dari dunia Timur.

Jadinya, Nasionalisme Melayu tidak lagi boleh kekal dengan sosiobudaya masyarakat tradisi tetapi perlu berevolusi dengan tatanan budaya semasa untuk mengikat keetnikan Melayu Malaysia.

Barisan Nasional juga telah berjaya membina pertautan yang utuh antara agama dan negara menerusi penginstitusian institusi rasmi agama dalam struktur negara.

Asas yang dibina telah pun kukuh dari segi struktur dan formalitinya. Maka, UMNO perlu beralih ke fasa seterusnya agar pengamalan beragama lebih bersifat demokratik dan progresif seperti mengambil kira cabaran dan isu semasa agar Islam sebagai panduan cara hidup benar-benar mampu dipraktikkan era pascamoden yang serba rumit dan bukanya hanya sekadar sebuah retorik.

Agama tidak semata-mata berperanan sebagai panduan kepada kehidupan rohani, tetapi juga memberi garis panduan kepada amalan urus tadbir yang baik, memangkinkan tradisi keintelektualan dalam penerokaan penemuan baharu dalam bidang akademik serta memperlihatkan keindahan Islam kepada warganegara bukan Islam bahawa Islam adalah agama yang rahmah.

Elemen ketiga dalam Nasionalisme Melayu Baharu menuntut orang Melayu dan ahli UMNO khususnya untuk memikirkan semula relevensi Ketuanan Melayu dengan sosiobudaya masyarakat moden.

Idea Ketuanan Melayu (Malay Sovereignty) ataupun Kindukan Melayu (Custodianship of Malay) dahulunya berakar daripada keterikatan perasaan dan hubungan antara orang Melayu dengan sejarah dan tradisi nenek moyang serta keabsahannya sebagai perumah kepada wilayah ini (host nation). Idea tersebut sesuai pada masa hubungan antara Melayu Bumiputera sebagai Perumah dengan Bukan Bumiputera sebagai Penghijrah.

Tatanan sosiobudaya tersebut berubah dengan wujudnya perkongsian kuasa atas dasar kompromi, kehidupan secara bersama dan muafakat sebagai warganegara Malaysia. Di samping kekuatan Melayu dalam bidang ekonomi tidak mencerminkan kekuatannya sebagai Perumah kerana dasar ekonomi kolonial yang meminggirkan penduduk pribumi.

Jika Melayu ingin kembali meraih keabsahan psikologi (psychological legitimacy) dalam kuasa politik, etnik majoriti perlu menampilkan prestasi yang cemerlang.

Antaranya dengan menjadi kumpulan majoriti dari kalangan yang berpendidikan tinggi, dari kalangan pekerja profesional dan dari kalangan mereka yang memiliki kekuatan ekonomi.

Nasionalisme Melayu Baharu juga menuntut orang Melayu sebagai bangsa teras dalam politik agar mentadbir dan memberikan agihan ekonomi secara saksama mengikut keperluan.

Manusia dilahirkan berbeza dari segi identiti dan kemampuan ekonomi keluarga, tetapi mereka semua memerlukan keperluan asasi yang sama. Masyarakat bukan Bumiputera akan berasa mereka tidak lagi menjadikan warganegara kelas kedua (second class citizen) di bawah kepimpinan UMNO-BN pada masa akan datang.

Dalam erti kata lain, Nasionalisme Melayu Baharu yang membawa semangat muafakat ini perlu menggalakkan MCA dan MIC memainkan peranan agar mereka benar-benar menjadi wakil suara komuniti masing-masing untuk membawa kepentingan dari setiap kumpulan dan berunding dalam Barisan Nasional.

Imej semasa yang mempamerkan UMNO menjadi kuasa dominasi dalam Barisan Nasional hingga menghakis keyakinan etnik-etnik lain mampu dipulihkan jika Nasionalisme Melayu Baharu benar-benar diterapkan dalam parti.

Keseimbangan kuasa rundingan dan tawar-menawar (negotiation – bargaining power) menjadi kunci kepada sebuah permuafakatan nasional yang mampu meraih sokongan semua pihak.

Parlimen Sembrong di bawah kepimpinan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi kajian kes terbaik yang menterjemahkan semangat Nasionalime Melayu Baharu dari konteks perkongsian kuasa dan semangat permuafakatan.

Sebuah parlimen yang diwakili oleh wakil daripada ketiga-tiga kaum utama khususnya di Semenanjung. Hishammuddin Hussein membawa visi dan legasi Onn Jaafar agar ketiga-tiga kaum ini mampu duduk semeja di bawah satu bumbung parti dan boleh berbincang secara aman.

Maka pada PRU 14 yang lalu, BN telah menghantar R Vidyananthan sebagai wakil India dan Teoh Yap Kun sebagai wakil Cina telah dipertandingkan di DUN Kahang dan Paloh walaupun etnik majoriti di DUN Kahang adalah majoriti Melayu.

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here