Manifesto Pilihan Raya, Rakyat Masih Beri Harapan Pada PRU15 Akan Datang?

0

Pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu telah menyaksikan pertandingan tiga penjuru diantara parti parti terbesar di Malaysia, perebutan untuk menguasai tampuk pemerintahan negara telah membuatkan parti-parti ini melaksanakan perancangan melalui manifesto atau janji-janji untuk memikat hati rakyat selain memainkan isu yang boleh meraih ‘political milage’ parti masing-masing.

Manifesto merupakan elemen yang paling penting untuk dijadikan alat pemasaran parti selain daripada calon yang bertanding pada pilihanraya.
Parti-parti yang bertanding ini akan membentangkan manifesto masing-masing sama ada secara nasional, negeri mahupun setempat yakni janji yang dijanjikan oleh calon-calon yang bertanding tidak kira dari parti mana sekali pun termasuk Bebas dan parti ‘underdog’.

Bagi pengundi pula, janji manifesto ini adalah penting untuk dijadikan panduan untuk menyelesaikan masalah mereka selain boleh memacu negara ke arah yang lebih baik.

Menurut Wahlang (2010) yang membahagikan kepada tiga perkara berkenaan kepentingan manifesto adalah;

Pertama,. sebagai alat yang penting dan efektif kepada parti untuk bertanding dimana ianya mengandungi kandungan komunikatif, selain disediakan untuk meningkatkan peratusan undi dan menerangkan program dan tujuan parti pada khalayak ramai.

Kedua, ianya Penting buat parti bertanding untuk menerangkan perincian janji mereka kepada pengundi sebagai medium untuk menilai parti mana yang mampu mendengar suara mereka selain memberikan harapan kepada mereka untuk sekurang-kurangnya dapat mengubah keperitan kehidupan mereka.

Ketiga, Wahlang turut menekankan kepentingan manifesto untuk rakyat menilai ini adakah dilaksanakan atau tidak kerana menurut beliau lagi parti yang menang perlu menunaikan janji mereka selain menjadi penanda aras dan kayu pengukur sesebuah parti samada diterima lagi untuk penggal seterusnya ataupun tidak.

Berdasarkan analisis yang dibuat terhadap manifesto parti-parti utama yang bertanding, Pakatan Harapan (PH) adalah lebih dekat di hati rakyat ketika itu berbanding dengan parti lain seperti Barisan Nasional (BN) serta Gagasan Sejahtera (GS).

Antara janji-janji yang telah ditawarkan yang menarik minat pengundi terutama orang muda adalah gaji minimum RM1500.00 dalam 100 hari pertama pentadbiran selain tidak perlu membayar pinjaman Ptptn sekiranya gaji dibawah RM4000.00 serta tawaran peluang 1 juta pekerjaan.

Selain itu juga beberapa isu nasional yang menjadi taruhan adalah harga minyak, tol serta penghapusan cukai GST yang menjadi modal paling berjaya bagi PH di dalam Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

Namun setelah berakhirnya PRU-14, dan telah lebih 100 hari berlalu, kebanyakkan janji-janji di dalam manifesto parti yang berjaya membentuk kerajaan pusat gagal diterjemah dan membuatkan rakyat mula menyesal dan berubah angin yang diterjemah melalui beberapa pilihanraya kecil (PRK) yang menyaksikan parti kerajaan tewas dengan majoriti semakin membesar akibat kekecewaan yang diluahkan oleh rakyat.

Jika dibandingkan dengan beberapa parti lain yang bertanding seperti BN dan GS ditunjangi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), walaupun tidak membentuk kerajaan pusat, namun janji-janji bagi peringkat Negeri telah berjaya dicapai di dalam tempoh 100 hari, sebagai contoh Kerajaan Negeri Terengganu dibawah pentadbiran PAS telah berjaya tunai 12 janji pilihanraya kurang setahun selepas membentuk kerajaan.

Tidak kurang nya, Kerajaan Negeri Pahang juga giat menunaikan janji mereka walaupun tidak berkuasa di peringkat Federal tetapi mengikut kemampuan serta kepentinga terhadap rakyat.

Namun hampir dua tahun selepas tamat PRU-14, rakyat telah mula bersuara di beberapa PRK menunjukkan mereka kecewa dan rasa tertipu dengan apa yang sedang berlaku kepada negara.

Tempoh sepenggal diberikan kepada Kerajaan dibawah PH adalah sangat penting bagi menentukan hala tuju gabungan tersebut sama ada terus kekal berkuasa atau hanya bertahan sepenggal.

PRU-15 akan datang pasti menjadi lebih mencabar, parti-parti yang bertanding pastinya akan mengambil sikap lebih berhati-hati di dalam menyenaraikan serta bersifat lebih optimistik dan tidak hanya sekadar menawarkan janji ibarat bulan dan bintang.

PH sebagai kerajaan pasti lebih perit mengenang janji mereka yang dahulu dan pasti akan bersikap lebih berhati-hati dan optimistik dalam menyenarai janji mereka, manakan tidak janji terdahulu gagal dilaksana dan jika mereka masih berjanji bulan dan bintang, maka undi rakyat nescaya akan beralih kepada pembangkang yakni samada BN atau GS ataupun gabungan kedua-dua ini dibawah Muafakat Nasional.

BN atau GS pasti turut mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku terhadap janji-janj PH yang lalu dan pasti akan menawarkan janji manifesto yang lebih optimistik, realistik dan boleh dilaksana serta bukan hanya sekadar berjanji.

Rakyat sudah tentu akan menilai janji-janji yang dibuat, dan pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali kerana perit menanti sepenggal yang telah memberikan penuh harapan tetapi punah dek kerana ketamakkan untuk berkuasa.

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here