Malapetaka Besar Jika Belia Tidak Prihatin Dengan Isu Politik

0

Kehidupan dalam abad ke 21 ini ternyata berbeza dengan kehidupan dalam zaman abad ke 20. Senario kehidupan nenek moyang dalam negara satu ketika dahulu nyata berbeza dengan langsungan hidup generasi hari ini.

Jika dahulu ikan sungai berenang-renang di tepian tebing seolah-olah seperti menyerah diri supaya ditangkap oleh anak-anak kecil orang Melayu untuk dijadikan santapan supaya ahli keluarga daif di kampung mampu untuk menghilangkan rasa lapar.

Ikan-ikan bermain bersama anak-anak kecil sewaktu mandi di sungai, ikan-ikan menemani kaum ibu membasuh pakaian di tepian sungai dan kisah ikan-ikan yang nampak tidak takut dengan manusia ini menjadi satu memori indah nenek moyang kita hari ini untuk menceritakan kepada cucu cicitnya.

Dahulu sebelum negara mencapai kemerdekaan, rakyat diperah oleh penjajah untuk mendapatkan cukai. Orang-orang Melayu yang tinggal di kampung dan pedalaman juga tidak terkecuali untuk merasa keperitan hidup pada waktu itu sehinggalah berlakunya kebangkitan orang-orang Melayu dalam menentang penjajah yang bermula di Pasir Salak, Perak.

Apakah masyarakat kita hari ini sudah cukup selesa dalam kehidupan? Apakah kita tidak menghargai pengorbanan generasi terdahulu menentang penjajah sehinggakan kita semua lupa betapa pentingnya kuasa dalam pentadbiran menguruskan kerajaan.

Malapetaka Besar Jika Belia Tidak Prihatin Dengan Isu Politik

Sejujurnya sewaktu zaman persekolahan dan universiti, politik itu dianggap sebagai satu virus sebusuk tahi sehingga lahirnya rasa benci. Tambahan lagi dengan pelbagai cerita isu sampah yang seolah-oleh menganggap rakyat sebagai boneka yang perlu menganga dan kerajaan menyuap sesudu nasi sahaja.

Secara peribadi, inilah fikiran kolot sewaktu remaja yang sentiasa tidak puas hati dengan apa yang diterima, yang sentiasa tidak betul dengan apa yang diberitahu, yang sentiasa memberontak dengan perkara yang diarah.

Amarah yang tersimpan sejak zaman belajar terbawa-bawa sehingga ke alam pekerjaan. Di sinilah kemuncaknya rasa benci terhadap politik dalam negara itu semakin membuak-buak.

Individu yang sama dalam dua senario dan zaman yang berbeza. Bukit yang ditambak sejak tahun 1990 kini sudah menjadi seperti gunung berapi krakatoa di awal tahun 2010.

Realiti kehidupan yang sebenar bermula apabila melangkahnya individu ke dalam dunia pekerjaan. Kita berusaha keras demi untuk mencari sepinggan nasi lantas kena pula membayar pelbagai cukai kepada kerajaan.

Malapetaka Besar Jika Belia Tidak Prihatin Dengan Isu Politik

Kenapa.. Kenapa.. dan untuk apa? Inilah persoalan yang sering ditanya sewaktu rasa cinta kepada negara itu tipis senipis hirisan bawang. Malu untuk diakui, namun inilah hakikat yang sebenar.

Ramai sebenarnya generasi belia hari ini masih lagi mamai dibuai mimpi indah dengan sentiasa berharap, mengharap sehingga tertiarap kecewa menangis dengan penuh kekecewaan.

Apabila belia minat dan mendekati politik, ada pula sahabat bersuara sumbang yang sinis cuba mematahkan semangat patriotik. “Usahlah berpolitik, semua sama kotor!”, kata Ibrahim. “Kau nak jadi macam menteri kewangan ke?”, sindir Izwan. “Buat penat jer, tukar kerajaan pun kita sama jer!”, Azizan memekik.

“Ibrahim kawanku, jika semua kotor biarlah aku masuk untuk jernihkan”, terdiam Ibrahim mendengar. “Izwan sahabatku, aku adalah aku dan kau sebagai sahabat lebih mengenaliku dari orang lain”, Izwan memalingkan muka. “Azizan penaku, lain tangan lain rasa masakannya, lain pemerintah lain pula gayanya”, terpinga-pinga mukanya si Azizan.

Malapetaka Besar Jika Belia Tidak Prihatin Dengan Isu Politik

“Sahabat, kalau itu tak betul, ini tak betul. Jadi, marilah kita sama-sama masuk berpolitik untuk memperbetulkan keadaan. Takkan kita nak biarkan orang-orang yang tak betul berada dalam politik sedangkan kita yang sentiasa betul ini langsung tidak berminat untuk melibatkan diri? Kalau bukan kita, siapa lagi?”, kataku kepada tiga sahabatku namun saya diketawakan menjadi bahan lawak bagi yang tidak berat dengan masa depan negara.

Belia seharusnya mengambil tahu tentang polisi-polisi kerajaan, dasar-dasar terkini kerajaan. Itulah jambatan kita semua untuk melintas arus sungai yang deras. Jangan mengikut sahaja, ambil tahu dan peduli kenapa polisi serta dasar itu dibuat. Dengan memahaminya, keterbukaan terhadap politik itu sudah pasti akan dapat dikecapi.

Jika ramai lagi belia-belia tidak berminat dalam bidang politik, alamatnya malapetaka besar akan melanda negara satu hari nanti. Semangat patriotik, nasionalisme perlu dipupuk dalam diri masing-masing sejak kecil.

Tepuk amai-amai, belalang kupu-kupu, dah besar bijak pandai, jangan berpecah marilah bersatu. Sama-sama kita berganding bahu untuk berjasa kepada agama, bangsa dan juga negara.

Malapetaka Besar Jika Belia Tidak Prihatin Dengan Isu Politik

Kita semua perlu sedar akan kepentingan politik dalam kehidupan. Takrifan negatif seperti membenci politik ini perlu ditepis dengan memandang ke arah kepimpinan pentadbiran kerajaan untuk ambil tahu serba sedikit apa yang bakal terjadi dengan perubahan polisi serta dasar-dasar terkini yang akan melibatkan diri kita serta cucu cicit keturunan kita satu hari nanti.

Usah sia-siakan pengorbanan pejuang negara kita terdahulu yang berjuang demi kita hari ini supaya kita dapat hidup dalam keadaan selesa bernegara aman serta damai. Usah benci politik, sekurang-kurangnya ambil tahu serba sedikit demi masa depan semua!

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here