Anda Bersedia Sekiranya Had Umur Persaraan 65 Tahun?

0

Isu ini isu lama, namun begitu saya masih merasakan perubahan dan kajian yang lebih menyeluruh perlu dilakukan terhadap had umur persaraan yang sebenarnya memberi impak besar memandangkan Kerajaan Malaysia dilihat bersedia untuk melaksanakan pengecilan 5% penjawat awam menjelang 2021.

Saya memetik cadangan Menteri Sumber Manusia baru-baru ini yang memaklumkan perbincangan bersama Kementerian Kewangan telah dilakukan sebelum cadangan untuk meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun dan sudah tentu Singapura menjadi antara negara “rujukan” bagi pelaksanaan cadangan tersebut.

Saya sentiasa konsisten dengan pendirian saya sejak tahun 2008 lagi berkenaan isu ini. Cadangan untuk meningkatkan had umur bersara mandatori ini merupakan satu langkah yang keterbelakang lantas secara tidak langsung menutup peluang kemasukan orang muda dan pemapanan perkhidmatan awam akan terjejas.

Anda Bersedia Sekiranya Had Umur Persaraan 65 Tahun

Bezanya cadangan kali ini, ada unsur membeli jiwa dengan penawaran untuk meningkatkan elaun COLA kepada RM500 sebulan atau lebih sekiranya cadangan ini dapat dilaksanakan. Saya pasti yang mendapat manisnya adalah mereka yang berjawatan tinggi di dalam kerajaan.

Manakala bagi penjawat awam sokongan, mereka akan merasa keperitan tenaga mereka diperah pada usia yang sudah lanjut. Diskriminasi tanpa sedar ini sebenarnya memberi kesan buruk kepada banyak aspek antaranya pengangguran, kurang produktiviti perkhidmatan awam dan ekonomi negara.

Bayangkan kekosongan yang sepatutnya diisi oleh lepasan graduasi terpaksa menunggu lagi 5 tahun bagi kekosongan jawatan sekaligus menambah lambakan lepasan graduasi serta peluang pekerjaan yang semakin mengecil.

Kelak ramai anak muda profesional tidak dapat naik pangkat dan kekosongan di sektor kerajaan akan berkurangan sekaligus menambah pengangguran graduasi lepasan diploma dan ijazah mahupun lepasan sijil.

Anda Bersedia Sekiranya Had Umur Persaraan 65 Tahun

Memang Ketua Setiausaha Negara telah membuat kenyataan bahawa had umur persaraan kekal pada 60 tahun namun begitu cadangan ini tidak mustahil akan dilaksanakan kerana cadangan sudah ada malahan daripada mulut Menteri sendiri.

Perubahan yang dilakukan terhadap had umur bersara mandatori ini telah berlaku sebanyak 3 kali dalam masa 20 tahun. Ianya bermula pada tahun 2001, 55 tahun kepada 56 tahun. Kemudian 56 tahun kepada 58 tahun pada tahun 2008 dan akhir sekali 58 tahun kepada 60 tahun pada tahun 2012.

Isu ini dilihat kecil namun impaknya kepada ekonomi negara, sistem pendidikan, peluang pekerjaan dan produktiviti perkhidmatan awam adalah amat besar.

Anda Bersedia Sekiranya Had Umur Persaraan 65 Tahun

Saya ingin bertanya kepada pembaca, setuju untuk had umur persaraan diturunkan kepada 55 tahun, kekal pada umur 60 tahun atau sedia untuk menerima pelaksanaan had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun?

Rujukan:

  • http://cuepacs.blogspot.com/2015/03/cadangan-cuepacs-dibantah.html
  • https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/09/492392/teliti-cadangan-naik-had-umur-persaraan-metrotv

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here